Kakitangan PWS

Open Panel

Search Our Site

Skim Infaq adalah kaedah berwakaf melalui potongan gaji. Skim Infaq diwujudkan bagi memudahkan kakitangan awam dan swasta berwakaf melalui potongan gaji secara bulanan dengan kadar minimum sebanyak Ringgit Malaysia Lima Sahaja (RM5.00) dan tiada kadar maksimum ditetapkan. Skim Infaq ini telah dirasmikan pada 2 Ogos 2011 oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Aras Bawah, Dewan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.


Objektif

  • Memberi pilihan dan kemudahan kepada kakitangan awam atau swasta untuk menyertai Saham Wakaf Selangor;
  • Mengumpulkan dana bagi melaksanakan projek atau program yang berupaya meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam di Negeri Selangor; dan
  • Mendidik masyarakat membudayakan amalan sedekah berdasarkan konsep wakaf yang menjadi satu tuntutan dalam ajaran Islam.

Prosedur Penyertaan

Kakitangan Kerajaan Negeri, Badan Berkanun, Dan Syarikat Swasta
  • Penyertaan Saham Wakaf Selangor melalui potongan gaji boleh dibuat dengan kadar minimum sebanyak Ringgit Malaysia Lima Sahaja (RM 5.00) dan tiada had maksimum ditetapkan;
  • Pemohon hendaklah menggunakan Borang Mewujudkan Saham Wakaf Selangor Melalui Potongan Gaji B1 (PG) yang disediakan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS);
  • Borang B1 (PG) mengandungi tiga (3) keping kertas karbon yang berwarna putih, merah dan biru;
  • Borang berwarna putih dan biru untuk kegunaan PWS dan borang berwarna merah perlu disimpan oleh pihak pemohon;
  • Sekiranya pemohon ingin menambah dan mengurangkan sumbangan wakaf, pemohon perlu mengisi semula Borang B1 (PG) dan tandakan serta berikan jumlah semasa di ruangan ditambah/kurang;
  • Pemohon yang ingin membatalkan potongan gaji dikehendaki memaklumkan kepada pihak majikan dan PWS; dan
  • Resit dan Sijil Saham Wakaf Selangor akan dikeluarkan pada awal tahun berikutnya mengikut jumlah keseluruhan yang telah dikreditkan ke dalam Akaun Wakaf PWS oleh pihak majikan.

Kakitangan Kerajaan Persekutuan
  • Penyertaan Saham Wakaf Selangor melalui potongan gaji boleh dibuat dengan kadar minimum sebanyak Ringgit Malaysia Lima Sahaja (RM 5.00) dan tiada had maksimum ditetapkan;
  • Pemohon hendaklah menggunakan Borang Kebenaran Potongan Gaji Wakaf Tunai Malaysia (YWM:PG1) yang disediakan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS);
  • Borang YWM:PG1 mengandungi empat (4) keping kertas karbon yang berwarna putih, biru, kuning dan merah;
  • Pemohon perlu memastikan di ruangan Cop Majikan ditanda pada ruangan Kerajaan (KOD 4474);
  • Pemohon juga perlu memastikan Cop Bulat Jabatan dicop di ruangan kosong dibahagian bawah Cop Majikan di setiap helaian borang;
  • Borang yang telah lengkap diisi berwarna putih dan biru diserahkan ke PWS;
  • Borang berwarna kuning untuk disimpan oleh pemohon, manakala yang berwarna merah diserahkan kepada majikan Bahagian Penggajian;
  • Pemohon yang ingin menambah atau mengurangkan jumlah potongan gaji hendaklah mengisi semula Borang YWM:PG1 dan menanda serta mengisi jumlah semasa potongan gaji pada ruangan yang berkenaan;
  • Pemohon yang ingin membuat pembatalan potongan gaji dikehendaki untuk memaklumkan kepada pihak majikan dan PWS; dan
  • Resit dan Sijil Saham Wakaf Selangor akan dikeluarkan pada awal tahun berikutnya mengikut jumlah keseluruhan yang telah dikreditkan ke dalam Akaun Wakaf PWS oleh pihak Yayasan Waqaf Malaysia.