Kakitangan PWS

Open Panel

Search Our Site

Saham Wakaf Selangor (SWS) adalah satu cara berwakaf melalui wang tunai. Iaitu dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di Negeri Selangor dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah SWT dengan tujuan kepentingan dan kebajikan umat Islam.

Objektif

  • Menyuburkan semula amalan wakaf yang merupakan sedekah jariah yang sangat dituntut oleh Islam;
  • Menyediakan kemudahan dan alternatif kepada masyarakat Islam untuk menyertai ibadah wakaf walaupun tanpa melibatkan aset kekal;
  • Memperluas dan memperbanyakkan lagi pegangan harta umat Islam, hasil jualan lot-lot saham wakaf akan dijadikan modal untuk membangunkan harta-harta wakaf atau pembelian hartanah yang sedang dibangunkan serta manfaatnya akan disalurkan untuk kebajikan dan pembangunan masyarakat Islam;
  • Usaha untuk menggalakkan masyarakat mengiktiraf wakaf sebagai sistem yang diyakini berpotensi untuk menggerakkan pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat Islam; dan
  • Menanam dan mendidik semangat bekerjasama antara umat Islam yang berteraskan konsep taa’wun dan ukhuwah Islamiah kerana dengan konsep persepakatan ini dapat membantu menggerakkan sosial dan ekonomi umat Islam.

Prosedur Penyertaan

  • Penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan iaitu Borang Mewujudkan Saham Wakaf Selangor (Borang B1);
  • Penggunaan Borang B1 dikecualikan sebagaimana yang termaktub di dalam kaedah 2A yang menyatakan bahawa:

    "Walau apa pun peruntukan di bawah kaedah (2), Kaedah-Kaedah Pentadbiran Wakaf (Borang-Borang Wakaf) (Pindaan) 2010, permohonan yang dilaksanakan melalui kaedah berikut adalah dikecualikan:

    - Kupon Saham Wakaf Selangor;
    - Tabung Saham Wakaf Selangor;
    - Mesin Elektronik; dan
    - Lain-lain cara yang diluluskan oleh Majlis.";

  • Penyertaan bermula dengan nilai Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja (RM10.00) seunit dan tiada kadar maksimum ditetapkan. Penyertaan melalui cek hendaklah di atas nama 'Perbadanan Wakaf Selangor';
  • Penyertaan terbuka kepada seluruh masyarakat Islam dan juga syarikat korporat;
  • Sijil akan diberikan kepada pewakaf yang menyertai Saham Wakaf Selangor bernilai Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja (RM50.00) dan ke atas;
  • Setiap peserta tidak menerima sebarang bentuk dividen atau keuntungan kerana ianya bersifat wakaf; dan
  • Penyertaan juga dibolehkan bagi pihak wakil atau mana-mana individu yang telah meninggal dunia mahu pun yang masih hidup.