Soal Jawab Wakaf

Kakitangan PWS

Open Panel

Search Our Site

 
Jawapan:

Maksud sedekah Jariah - dari segi makna ulama mengatakan “sedekah yang pahalanya berterusan selepas mati”. Ini bersumberkan daripada sebuah hadis Nabi SAW iaitu;

إذا مات الإنسانُ انقطع عملُه إلا من ثلاثٍ ؛ صدقةٍ جاريةٍ ، أو علمٍ يُنتَفَعُ به ، أو ولدٍ صالحٍ يدْعو له


“Apabila seseorang manusia mati segala amalannya akan terputus kecuali daripada tiga sumber: sedekah jariah atau ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan atau anak soleh yang sering mendoakannya” (Riwayat Muslim)

Sedekah jariah di sini menurut ulama’ ditakrifkan sebagai wakaf. Manakala wakaf diertikan sebagai satu amalan menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan dan manfaat orang ramai demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seperti mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid, surau, sekolah dan sebagainya. Selagimana harat yang diwakafkan itu wujud dan dimanfaatkan, maka orang yang mewakafkan itu mendapat pahala walaupun telah meninggal dunia.


Jawapan:

Bagi menjadikan wakaf ini sah dari segi syarak pewakaf tersebut disyaratkan:
1. Beliau adalah seorang yang merdeka, baligh dan berakal. Wakaf seorang hamba tidak sah kerana hamba tiada hak milik bahkan dirinya sendiri adalah harta yang dimiliki oleh tuannya.
2. Berkelayakan untuk bersedekah. Orang yang dihalang untuk berbelanja kerana tidak siuman atau muflis tidak sah mewakafkan harta.
3. Sukarela. Tidak sah wakaf orang yang dipaksa kerana syarat sukarela adalah antara syarat taklif. (Rujukan: Kitab Al-Fiqh Al-Manhaj, Bab Wakaf)


Jawapan:

InsyaAllah sampai pahalanya dan diterima oleh Allah SWT. Ini kerana, amal soleh atau wakaf yang dilakukan oleh orang yang masih hidup boleh dihadiahkan pahalanya kepada orang yang sudah meninggal dunia. Terdapat beberapa hadis yang meriwayatkan hal tersebut, diantaranya adalah hadis di bawah ini:

أَنَّ رجلًا قال للنبيِّ صلى الله عليه وسلم : إِنَّ أمِّي افْتُلِتَتْ نفسُها ، وأظنُّها لو تكلمَتْ تَصدَّقَتْ ، فهل لها أجرٌ إِنْ تَصدَّقَتْ عنها ؟ قال : نعم .


Diriwayatkan dari Saidatina Aishah r.a. menceritakan: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.; ‘Sesungguhnya ibuku telah mati. Aku mendapatinya jika sekiranya ia berpeluang bercakap (ketika hamper matinya) nescaya ia akan bersedekah (yakni menyuruh agar dikeluarkan sedekah dari hartanya). Maka apakah baginya pahala jika aku bersedekah bagi pihaknya?’ Jawab baginda SAW: Ya” (Riwayat Bukhari)

Maka, hadis di atas menjadi dalil bahawa sedekah orang hidup memberi manfaat untuk orang yang telah meninggal dunia.


Jawapan:

Wakaf merupakan satu amalan yang sangat dituntut oleh Islam kerana ia merupakan sedekah yang bersifat jariah (berpanjangan dan berkekalan) yang dilakukan semasa hidup namun manfaat dan pahala yang berpanjangan mengalir ke dalam tabungan amal kebaikan kita walaupun pewakaf telah meninggal dunia berates tahun sekalipun. Walaupun hukum wakaf adalah sunat namun amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh Baginda SAW sendiri (sunnah) dan diikuti oleh para sahabat rid’wuanullah alaihim ajmain.

Selain itu juga, wakaf merupakan satu instrument yang dapat membantu ekonomi dan social umat Islam seperti kewujudan sekolah, klinik, hospital dan university wakaf. Bahkan lebih meluas seperti kompleks perniagaan, penternakan dan lading pertanian dapat membantu ekonomi dan masyarakat Islam.


Jawapan:

Hukum berwakaf bagi orang bukan Islam adalah harus dan dibenarkan. Para Ulama’ As-Shafie berpendapat wakaf seseorang bukan Islam sah walaupun untuk masjid, walaupun bukan niat bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah SWT). Mereka akan diberi ganjaran atas sedekahnya di dunia, namun tidak di Akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Baginda SAW di dalam hadis berikut:-

إنَّ اللَّهَ لا يظلِمُ مؤمنًا حسنةً يُعطى بِها في الدُّنيا ويُجزى بِها في الآخرةِ . وأمَّا الكافرُ فيُطعَمُ بحسناتِ ما عمِلَ بِها للَّهِ في الدُّنيا . حتَّى إذا أفضى إلى الآخرةِ . لم يَكُنْ لهُ حسنةٌ يُجزَى بِها


Bermaksud: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seseorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat. Orang bukan Islam pula menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya”. (Riwayat Muslim)

Begitu juga Al-Subkhi menjelaskan, wakaf nazar daripada kafir zimmi kepada anak-anaknya tetap sah tetapi dia tidak mendapat sebarang ganjaran pahala. Sekiranya pewakaf murtad dan dihukum bunuh kerana murtadnya, maka wakafnya tetap sah. Sekiranya pewakaf itu murtad selepas menyerahkan wakafnya, maka terbatal wakafnya sama ada beliau mati dihukum kerana murtad atau mati dengan sebab-sebab lain atau beliau kembali semula menganut Islam. Melainkan jika dia mewakafkan semula hartanya itu setelah bertaubat dan kembali kepada Islam. (Rujukan Ibnu Abidin)


Jawapan:

Para ulama’ As-Syafie mengharuskan wakaf kepada golongan bukan Islam ataupun zimmi, selama mana ia tidak bertujuan untuk melakukan maksiat, ini kerana dibolehkan sedekah kepada golongan ini, maka begitu juga diharuskan wakaf kepada mereka. Jika didapati ada kemungkinan penerima wakaf akan melakukan maksiat dengan harta tersebut, maka wakaf tersebut tidak sah kerana maksiat tersebut akan menghilangkan hikmah dan tujuan wakaf.


Jawapan:

Waalaikumussalam. Untuk makluman Encik Amar Shahid, duit insurans tersebut jika telah difaraidkan kepada waris, maka bolehlah waris-waris berpakat daria bahagian masing-masing untuk sebahagiannya diwakafkan bagi tujuan jariah si arwah. InsyaAllah berkat dan pahala sampai berdasarkan hadis Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, katanya yang bermaksud:

“Bahawa ada seorang laki-laki berkata kepada Nabi SAW: ‘Sesungguhnya ayahku sudah wafat, dia meninggalkan harta dan belum diwasiatkannya, apakah jika disedekahkan untuknya maka hal itu akan menghapuskan kesalahannya?’ Rasulullah SAW menjawab: Na’am (Ya).”
(HR. Muslim No. 1630, Ibnu Majah No. 2716, An Nasa’I No. 3652, Ahmad No. 8486)


Jawapan:

Seseorang yang telah meninggal dunia akan meninggalkan harta termasuklah hutang yang pernah diberikan kepada seseorang oleh simati. Oleh itu, sekiranya seseorang penghutang mahu melangsaikan kewajipan tersebut hendaklah diserahkan kepada ahli waris untuk pembahagian harta pusaka.

Merujuk persoalan di atas, anak yang berhutang kepada simati perlu mendapat persetujuan daripada semua waris sekiranya ingin mewakafkan keseluruhan hutang tersebut. Jika terdapat waris yang tidak bersetuju, maka anak yang berhutang tersebut hanya boleh mewakafkan bahagiannya sahaja. Wallahu a’lam.


Jawapan:

Prosedur Kutipan Saham Wakaf Selangor (Wakaf Khas) merupakan satu kaedah mengutip dana wakaf bagi pembangunan dan pembinaan masjid dan surau yang tidak termasuk di dalam Rancangan Malaysia (RMK). Kebenaran ini dikeluarkan setelah permohonan lengkap diterima dan penurunan kuasa diberikan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) untuk mengutip dana Wakaf Khas. Ini merupakan satu bentuk kerjasama di antara Institusu surau atau masjid tersebut. Selain itu, keistimewaan penggunaan prosedur Wakaf Khas ini adalah pewakaf yang menyumbang akan mendapat pengecualian cukai pendapatan sehingga 7% bagi individu dan 10% bagi syarikat.

Berikut adalah dokumen yang diperlukan bagi tujuan permohonan prosedur Wakaf Khas:-
1. Menyediakan surat permohonan menggunakan prosedur kutipan Wakaf Khas;
2. Menyediakan kertas kerja yang ringkas dan lengkap;
3. Menyertakan surat kebenaran pembinaan surau / masjid / sekolah daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS);
4. Menyertakan status tanah bagi tapak projek tersebut daripada Pejabat Tanah Daerah atau kelulusan pembinaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
5. * Mengisi Borang Permohonan Wakaf Khas; dan
6. * Mengisi Borang Kuasa Menyedia dan Menandatangani Resit (Borang G).

* Borang ini boleh didapati di laman web PWS di www.wakafselangor.gov.my


Jawapan:

Wasiat wakaf adalah sama ada harta berbentuk tunai, emas mahupun hartanah. Wasiat wakaf ini boleh dilakukan melalui Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau agensi-agensi wasiat berdaftar dengan menamakan Perbadanan Wakaf Selangor sebagai penerima wasiat wakaf yang dilakukan.